Friday, 29 May 2020

ASAL USUL KOTA MARUDU

Waro-waroo ka dit gulu-gulu...(tad kowudut boh diti)

ASAL USUL NAMA KOTA MARUDU

Kota Marudu adalah sebuah daerah yang terletak di utara Negeri Sabah. Sebelum wujudnya Kota Marudu pada tahun 1970an, nama MARUDU atau MALUDU telahpun wujud dalam Peta Dunia sejak abad ke-14 lagi atau lebih kurang 500 tahun yang lalu, iaitu sama zaman dengan wujudnya nama MELAKA dalam sejarah dunia dan merupakan antara nama yang tertua sekali tercatat di Tanah Borneo. Lebih jelas lagi, nama MARUDU atau MARUDO atau MALUDU merupakan NAMA DAERAH ATAU WILAYAH ATAU NEGERI YANG TERTUA SEKALI yang telah digunakan dalam Negeri Sabah yang pernah tercatat dalam Sejarah Borneo

Namun keberadaan nama Marudu dalam peta dunia zaman kuno tidak disedari oleh orang-orang Sabah khasnya dan orang-orang Malaysia amnya, tidak menyedari dan tidak mengetahui perkara ini.

Ramai orang mendakwa, nama Bandau lebih awal digunakan dari nama Marudu untuk merujuk kewujudan Daerah Kota Marudu. Namun demikian, perkara ini adalah tidak benar dan sengaja diada-adakan. Perbuatan ini adalah satu perbuatan dan tindakan yang bersifat prejudis, tidak bertanggung jawab dan sengaja membunuh sejarah bangsa dan negeri sendiri. Tidak ada satupun catatan sejarah silam atau bukti arkeologi dan antropologi yang membenarkan kewujudan nama Bandau. Namun demikian, soal nama dan ras bangsa bukanlah satu kayu ukuran untuk mengukur rasa cinta dan sifat jatidiri serta kesetiaan kepada tanah air. Apa yang lebih penting ialah perpaduan dan kedamaian di kalangan warganya yang disertai dengan rasa tanggung jawab secara bersama untuk membangunkan dan mencintai tanah air kita.

Berdasarkan catatan di negara China, pada abad ke 7 atau ke 8 Borneo dirujuk sebagai Po-Li, Po-Lo atau Pu-Ni atau Bun- Lai dan aktiviti perdagangan kuno telahpun berlangsung antara borneo dan China. Ini dibuktikan dengan penemuan artifak dan kapal dagang China Zaman Dinasti Song ( 960 - 1126 M ) di Sampang Mangayau, Kudat. Sampang Mangayau masih terletak dalam kawasan perairan Teluk Marudu atau Marudo dan sebahagian daripada wilayah Marudu.

Berdasarkan catatan pedagang pedagang dari negeri Arab dan India yang singgah di Pulau Borneo dan menjalinkan aktiviti perdagangan dengan Pulau Borneo, pedagang-pedagang ini seringkali menceritakan kepada pedagang-pedagang di China bahawa di Pulau Borneo terdapat sebuah gunung yang terletak di bawah angin dan ketinggiannya mencecah awan. Pelabuhannya dalam dan hasil utamanya ialah kapur barus. Pedagang-pedagang Arab, China dan India mengikhtiraf dan mengakui bahawa Kapur Barus dari Borneo adalah Kapur Barus yang terbaik di dunia. Aktiviti perdagangan antara bangsa ini berlaku di Borneo melalui pelabuhan di kawasan Marudu melalui bukti adanya artifak kuno seperti tembikar, peralatan tembaga dan kapal tenggelam ditemui di kawasan perairan Sampang Mangayau, Kudat dan penemuan taburan duit siling Zaman Dinasti Ming dan tembikar di Muara Sungai Milau, Kampung Parapat Laut yang terletak di kawasan Teluk Marudu.

Serpihan pinggan mangkuk China dari Dinasti Ming juga ditemui di kawasan perkampungan Shariff Osman seperti di Kampung Marudu Laut dan Kampung Ranau, Kota Marudu. Perlu diingat, ketiga-tiga kawasan ini terletak dalam lingkungan kawasan perairan Marudu dan artifak-artifak yang ditemui ini berumur di antara 1000 tahun yang silam. Ini membuktikan bahawa kawasan Marudu telahpun menjadi pelabuhan perdagangan antara bangsa yang terpenting di Borneo sejak 1000 tahun yang silam lagi.
Pada tahun 1550, pedagang-pedagang Portugis direkodkan telah singgah di sebuah pelabuhan di Pulau Borneo yang dikenali dengan nama pelabuhan "MARUDO"(1). Nama MARUDO dicatatkan oleh seorang Ahli Sejarah Portugis FERNAO LOPES DE CASTANHEDA pada tahun 1550 sebagai sebuah pelabuhan asas yang digunakan oleh orang-orangnya (2). Beliau juga merekodkan nama MARUDO dalam Peta Pelayaran Portugis dan melukiskan adanya penempatan atau Bandar di pelabuhan Marudo.

Pada bulan Disember 1600 seorang sukarelawan Pelayaran Belanda bernama VAN NOORT dalam perjalanannya dari Teluk Brunei ke Pulau Jawa, telah merekodkan dan melukis kedudukan dan nama MARUDO dalam petanya. Berdasarkan catatan, rekod dan peta Fernao Lopes De Castanheda dan juga catatan dan peta Van Noort, seorang ahli geografi portugal bernamaTheodore De Bry telah melukis Peta Borneo yang dikenali sebagai BORNEO INSULA pada tahun 1602 dan merekodkan nama, petempatan dan pelabuhan MARUDO (3).

Asal-usul perkataan Marudu, dan sejak bila perkataan Marudu digunakan untuk merujuk Wilayah Marudu belum pernah dibuat kajian dan penyelidikan teliti oleh mana-mana pihak setakat ini. Oleh itu, saya akan cuba menyelongkar dan mengimbas sejarah silam dan menyemak buku-buku atau dokumen-dokumen lama yang ada kaitannya dengan nama Marudu. Berdasarkan kajian dan penyelidikan yang berterusan, saya mengandaikan bahawa Marudu telahpun dikenali sebagai sebuah pelabuhan, petempatan, negeri dan wilayah sejak adanya Kerajaan Lama di Asia Tenggara lagi.

Kerajaan lama seperti Sri Vijaya ( ) dalam abad ke dan Kerajaan Majapahit ( 1292 M - 1478 M) dalam abad ke 11 hingga 13 telah meletakkan Marudu di Pulau Borneo sebagai antara kawasan dan wilayah yang pernah menjalinkan hubungan dengan kedua-dua kerajaan ini. Malahan Kerajaan Majapahit yang beragama Hindu-Buddha telah meluaskan jajahannya sehingga ke Pulau Borneo dan Kepulauan Sulu. Prapanca, seorang penulis diraja Majapahit dalam tahun 1365 telah mencatatkan dalam

NEGARAKERTAGAMA (4) bahawa Buruneng ( Brunei ) dan Solot ( Sulu ) sebagai wilayah jajahan Majapahit dalam Wilayah Borneo. Bahasa rasmi Kerajaan Majapahit ialah bahasa Sanskrit dan bahasa ini telah menjadi Lingua-Franca dalam kerajaan Majapahit. Oleh itu, bahasa ini juga tentunya turut digunakan di wilayah Borneo Lama.

Di Pulau Borneo, beberapa kerajaan lama dalam jajahan majapahit yang pernah wujud ialah Kerajaan Kutai Kartanegara yang beragama Hindu-buddha antara tahun 1300M - 1545M, Kerajaan Banjar yang menganut agama Hindu-buddha sehingga tahun 1526 dan Kerajaan PuNi ( Brunei ) yang menganut agama Hindu-buddha sehingga tahun 1365. Ketiga-tiga kerajaan ini telah menggunakan bahasa sanskrit dan bahasa melayu sebagai bahasa persuratan dan pertuturan. Berbalik kepada istilah Marudu, sebenarnya apabila diselidiki di kalangan bahasa-bahasa sukuan penduduk Pulau Borneo, belum ditemukan kata atau perkataan Marudu sebagai satu istilah dalam bahasa mereka. Oleh itu, perkataan Marudu tentunya dari bahasa lama sama ada bahasa sanskrit ataupun bahasa melayu lama.

Memandangkan status Marudu sebagai sebuah wilayah yang penting di kepulauan Nusantara, maka tentunya istilah ini adalah satu istilah bahasa persuratan dan bukannya bahasa pertuturan. Kewujudan nama-nama tempat berdasarkan kata pertuturan setempat hanyalah merujuk kepada nama-nama tempat yang kecil dan kurang penting sahaja. Ini berbeza dengan nama Marudu iaitu sebuah nama yang merujuk kepada sebuah wilayah yang penting dan selalunya nama-nama tempat, negeri atau kerajaan adalah nama-nama penting dan tentunya istilah atau pengertiannya diambil dari bahasa persuratan sesebuah kerajaan itu.

Dalam bahasa Sanskrit, nama-nama tempat, negeri atau kerajaan selalunya diambil dari bahasa persuratan dan nama-nama ini selalunya merujuk kepada nama-nama yang baik, kuat, agung, gemilang dan sebagainya. Misalnya kata "MA" dalam bahasa sanskrit selalunya merujuk kepada nama pelabuhan, nama yang terbilang atau agung dan penting. MA - DHURA misalnya bererti Pangkalan atau tempat yang jauh, MA - LAKHA bererti Pangkalan atau tempat untuk dituju, MA-LUKU pula bererti Pangkalan atau tempat menurunkan orang dengan pantas.
Dalam bahasa Sanskrit, terdapat kata MARUDHU hasil dari gabungan beberapa perkataan atau rangkai kata; iaitu MA - RU dan DHU ( DU ). Kata MA bererti Pangkalan atau tempat sesuatu bermula, RU pula bererti pertempuran atau peperangan, mana kala kata DHU atau DU bererti amat menggerunkan atau amat menakutkan. Oleh yang demikian, rangkai kata MARUDHU atau MARUDU bererti "Pangkalan atau tempat untuk peperangan atau pertempuran yang amat menggerunkan atau menakutkan". Rangkai kata ini amat berpadanan dengan situasi dan istilah Marudu itu yang selama ini diistilah sebagai tempat yang sangat handal dan berilmu pahlawan-pahlawannya.

Negeri-negeri jiran seperti Sulu, Palawan, Tawi-Tawi, Tidung, Banjar dan Brunei sememangnya agak gerun apabila seseorang itu merujuk dirinya berasal dari Marudu. Kegerunan terhadap orang-orang atau panglima dan pahlawan dari Marudu ini terus menghantui orang-orang negara jiran dan kegerunan ini masih terus dirasai terutamanya di era zaman aktiviti pelanunan ,iaitu sehingga abad ke 17 - 18. Ketika itu, Marudu mengambil tempat utama sebagai tempat yang paling ditakuti dan digeruni oleh musuh-musuhnya, khususnya oleh di kalangan orang-orang barat dan di kalangan lanun-lanun di Nusantara.

Pada abad ke 18-19, iaitu sewaktu Borneo Utara ( Sabah ) di bawah penguasaan Kesultanan Brunei dan Kesultanan Sulu, Wilayah Marudu telah memainkan peranan utama untuk menghasilkan pahlawan-pahlawan yang gagah perkasa sama ada di kalangan bangsa ke-Datuan ( Sulu dan Brunei ) ataupun dari kalangan bangsa suku asli seperti Dusun dan Sungai.

Kegagahan dan kepahlawanan orang-orang Marudu ( meliputi kawasan dari Utara Kudat sehingga ke Tempasuk dan hingga ke kawasan Paitan, Sugut dan Kinabatangan) menjadi semakin terserlah pada zaman pemerintahan British sehinggakan Shariff Osman yang ketika itu menjadi Ketua Pemerintah Marudu digeruni oleh pihak British, amat ditakuti di Kepulauan Sulu dan Brunei. Keberanian, kepahlawanan dan kekuasaan Shariff Osman telah dicemburui oleh pembesar dari Brunei lebih-lebih lagi apa bila Shariff Osman mengisytiharkan Marudu dan dirinya sebagai "Negeri dan Pemerintah Bebas"  yang berkecuali dari wilayah pajakan yang diserahkan oleh Sultan Brunei dan Sultan Sulu kepada pihak British. Tindakan Shariff Osman ini menyebabkan Raja Muda Hashim bertindak mengisytiharkan Shariff Osman sebagai Ketua Lanun dan Marudu adalah Wilayah Lanun. Beliau telah meminta bantuan dan bergabung dengan pihak James Brooke, British North Borneo dan Tentera Laut Diraja British untuk menyerang dan memusnahkan kubu Shariff Osman di Muara Sungai Marudu. Shariff Osman disahkan terbunuh dalam serangan tersebut.

Pada tahun 1881 pihak British telah mula memerintah North Borneo dan mereka telah memulakan pentadbiran mereka di KUDAT iaitu sebuah nama dan kawasan baru yang ketika itu terletak dalam kawasan Marudu. Namun demikian, pihak British terpaksa berpindah ke Sandakan tiga tahun kemudian kerana ancaman lanun di perairan Marudu. Ketika ini, kawasan Marudu telah menjadi kecil dan istilah Marudu pada masa ini hanyalah merujuk kepada kawasan Bandau, Langkon, Tandek, Adjung,Teritipan, Marasinsim dan beberapa nama lain.

Marudu tidak lagi merujuk kepada istilah kawasan atau wilayah tetapi hanyalah sebuah daerah pentadbiran kecil yang diletakkan di bawah Residensi Kudat. Nama Marudu tidak lagi segah dahulu sebaliknya Kudat telah menjadi satu nama yang lebih penting dan menerima tempias keunggulan dan kegagahan nama Marudu. Justeru itu, pihak British telah melantik seorang ketua baru bagi mengetuai orang-orang Bajau, Suluk dan Sungai di kawasan Marudu, Kudat dan Pitas. Beliau ialah Haji Abdul Rahim atau digelar Maharajah Panglima Untung ( Untang ) yang mentadbir kawasan Marudu berpusat di Limau-limauan, Kudat. Pihak Britsih telah mengeluarkan "SURAT SUNGAI" untuk mengikhtiraf Haji Abdul Rahim sebagai Ketua dan menguasai kawasan " DARI SUNGAI BENGKOKA ( meliputi kawasan dari Sungai Talaga ke Sungai Pitas ) KE SUNGAI GUMPAH "( sekarang terletak di kawasan Kg Landung Ayang Kudat ). Haji Abdul Rahim juga dianugerahkan kawasan tanah seluas 3,000 ekar di Limau-limauan Kudat dan 3,000 ekar di Pitas sebagai kawasan yang dikecualikan dari dipungut cukai kepala oleh pihak Britsih. Beliau sebaliknya dibenarkan memungut cukai persendirian berupa cukai tanam-tanaman , iaitu padi bukit dari penduduk tempatan di kawasan tersebut. Haji Abdul Rahim juga telah diminta oleh pihak British untuk mengamankan penentangan dari penduduk-penduduk tempatan.

Di kawasan Kudat dan Matunggong pula, pihak British telah mengikhtiraf Tumanggong Kurantod sebagai Ketua orang-orang Rungus. Kedua-dua tokoh ini telah dianugerahkan gelaran pangkat oleh Sultan Sulu sebelum British mentadbir Borneo Utara. Haji Abdul Rahim dianugerahkan gelaran "Maharajah" ( gelaran ini seerti dengan kata Pemerintah Wilayah dan gelaran Tertinggi untuk Wakil Sultan ) dan Tumanggong Kurantod dianugerahkan gelaran " Tumanggong " ( gelaran tertinggi bagi Ketua Suku Asli di Borneo ).

Sebelum North Borneo mencapai kemerdekaan dan di awal tahun 50-an sehingga 60-an nama Bandau telah digunakan untuk merujuk pusat pentadbiran British di Pekan Lama. Nama Langkon atau Langkong pula digunakan untuk merujuk kawasan estet di Langkon. Nama Marudu dihidupkan semula pada tahun 1970-an untuk merujuk pusat pentadbiran daerah di sini. Apabila Pusat Pentadbiran Bandau dinaikkan taraf ke Daerah nama KOTA MARUDU akhirnya digunakan. Penambahan perkataan KOTA di awal perkataan MARUDU adalah sebagai merujuk dan mengenang perjuangan Pahlawan Tanah Air, Shariff Osman yang telah membuat Kubu di Muara Sungai Langkon sebagai mempertahankan tanah air dan negerinya dari dijajah dan diambil oleh pihak British.

Pada masa ini, Kota Marudu ditadbir oleh Pegawai Daerah dan diwartakan sebagai sebuah Daerah Penuh di negeri Sabah. Kota Marudu terletak di dalam kawasan Parlimen 168 Kota Marudu dan dalam Dewan Undangan Negeri Tandek. Pusat Pentadbirannya di Pejabat Daerah Kota Marudu, di kawasan Pekan Baru Kota Marudu.

Sumber: Ilhamku

0 comments:

Post a Comment

kbfm chatting group


Get your own Chat Box! Go Large!
radio kotabeludfm

xat radio player
Can't hear anything? Please try one of the player links. Play stream in WinampWinamp/iTunes Play stream in Windows Media PlayerWindows Media Player Play stream in Real PlayerReal Player

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites